Selangorkini
Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

WWF-Malaysia sokong hukuman berat terhadap penjenayah hidupan liar

KOTA KINABALU, 8 JULAI: WWF-Malaysia menyokong penuh hukuman lebih berat terhadap penjenayah hidupan liar di Sabah seperti dalam kes terkini menyaksikan seorang peniaga dalam talian dijatuhi hukuman penjara kerana memiliki 20 biji telur penyu.

Ketua Marin WWF-Malaysia Monique Sumampouw dalam kenyataan berkata hukuman itu yang mengikut garis panduan jenayah hidupan liar ideal dalam usaha menangani perdagangan haram dan pemburuan hidupan liar di negeri ini.

“Penyu hijau, sisik (hawksbill) dan lipas (olive ridley) adalah dilindungi di bawah Jadual 1 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Negeri 1997. Adalah penting bagi semua pemegang taruh untuk memastikan kelangsungan hidup spesies ini.

“Ditemukan sama ada bersarang, mencari makanan atau berhijrah di sepanjang pantai dan perairan Sabah, penyu marin ini diancam oleh pelbagai ancaman manusia terutamanya pencuri telur dan penyu,” katanya.

Pada 26 Jun, pegawai penguat kuasa Jabatan Hidupan Liar Sabah menahan seorang pemuda tempatan berusia 21 tahun yang aktif memasarkan telur penyu dalam akaun Facebooknya.

Pasukan penguat kuasa menahan lelaki itu berhampiran pasar raya besar di Putatan, di sini dan merampas 20 biji telur penyu hijau daripada lelaki itu.

Pada 4 Julai, lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan dijatuhi hukuman penjara setahun dan didenda RM200,000 atau penjara dua tahun.

Hukuman yang dikenakan itu adalah merujuk kepada garis panduan hukuman yang dibuat oleh badan kehakiman, dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan WWF-Malaysia.

Tan Sri David Wong Dak Wah yang ketika itu merupakan Hakim Besar Sabah dan Sarawak melancarkan garis panduan tersebut pada Jun tahun lepas.

Mengulas lanjut mengenai penyu laut yang terancam, Sumampouw berkata terdapat 129 kes telur penyu marin dirampas di Sabah antara tahun 1999 dan 2017 berdasarkan laporan Traffic 2019 bertajuk ‘Penilaian Pesat Perdagangan Penyu Marin di Indonesia, Malaysia dan Vietnam’.

Sumampouw menegaskan penyu marin menyumbang kepada habitat yang lebih sihat, yang seterusnya menyumbang kepada penuaian laut yang lebih baik dan memberi faedah kepada industri perikanan.

“Untuk memastikan populasi penyu dikekalkan, setiap telur penyu perlu diselamatkan. Ia adalah penting untuk memulihara penyu marin kerana ia memainkan peranan penting dalam mengekalkan ekosistem marin yang seterusnya menyumbang kepada kelangsungan hidup manusia dalam jangka masa panjang,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :