EXCO Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau (tengah) menyerahkan sumbangan kepada Ketua Kampung Mukim Kajang, Sungai Jernih, Shahrizan Abu Bakar (kanan) sebagai tanda simbolik perasmian Program Pemberian Barangan Perlindungan Kesihatan dan Makanan Berkhasiat golongan B40 daerah Hulu Langat di Dewan Masyarakat Kampung Bahagia di sini pada 25 Ogos 2020.
EXCOSELANGOR

5,700 individu B40 terima barang perlindungan kesihatan, makanan sihat

BANGI, 25 OGOS: Seramai 5,700 individu dari keluarga berpendapatan rendah (B40) di Selangor menerima barangan perlindungan kesihatan dan makanan berkhasiat mulai hari ini, kata EXCO kerajaan prihatin.

V Ganabatirau berkata bantuan bernilai RM347,700 itu akan disalurkan menerusi penghulu dari 57 mukim seluruh negeri atas dasar Kerajaan Negeri yang prihatin terhadap golongan terjejas dan memerlukan.

“Pemberian ini dijangka dapat membantu golongan berpendapatan rendah termasuk warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), wanita hamil dan anak yatim memperolehi barangan keperluan penjagaan kesihatan serta makanan seimbang.

“Secara tidak langsung, ia dapat memastikan kesihatan golongan terbabit terjamin bagi menjalani kehidupan seharian,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Program Kerajaan Prihatin dan Program Pemberian Barangan Perlindungan Kesihatan dan Makanan Berkhasiat Golongan B40 Daerah Hulu Langat di Dewan Masyarakat Kampung Bahagia di sini hari ini.

EXCO Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau (belakang, tiga, kanan) bersama ketua-ketua kampung selepas Majlis Perasmian Program Pemberian Barangan Perlindungan Kesihatan dan Makanan Berkhasiat golongan B40 daerah Hulu Langat di Dewan Masyarakat Kampung Bahagia di sini pada 25 Ogos 2020.

Ganabatirau berkata setiap penerima mendapat barangan seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman, Milo, beras, Nestum dan biskut berkhasiat menerusi peruntukan Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin.


Pengarang :