AGENDABERITA UTAMANASIONAL

AgroData lonjak sektor pertanian

SHAH ALAM, 20 OGOS: Inisiatif AgroData Selangor dijangka dapat meningkatkan pendapatan petani selain menjadikan negeri ini sebagai pusat pertanian utama negara pada masa depan.

Pengerusi Agropreneur Selangor (Agrosel) berkata usaha ini bertujuan mengatasi masalah tiada maklumat tepat keperluan pasaran apabila data permintaan dan pengeluaran tidak lengkap.

Mohd Bukhari Bachok menjelaskan inisiatif itu juga mengelakkan petani atau penternak daripada kerugian kerana dapat menganggarkan jumlah pengeluaran hasil tani.

“Contohnya apabila Kerajaan Selangor mahu membuka 5,000 ekar tanah (di sepanjang Sungai Selangor), kita boleh tahu berapa jumlah petani diperlukan, jenis tanaman atau ternakan dan juga jumlah diperlukan.

“Ia (data) keperluan mendesak pada masa ini berikutan perkembangan pesat dunia yang memerlukan pelaksanaan pertanian pintar berasaskan teknologi,” katanya pada 14 Ogos.

Menyifatkan inisiatif itu langkah tepat, Mohd Bukhari percaya data sedemikian boleh membantu Selangor menjadi pusat pertanian utama untuk pasaran luar negara.

Inisiatif berkenaan diperkenalkan melalui pelan pemulihan ekonomi yang dibentang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 13 Julai lalu.

AgroData bertujuan melengkapkan kesenjangan antara permintaan dan penawaran bahan makanan, sekali gus membantu petani meningkatkan pengeluaran makanan.

Ia juga menawarkan penanaman secara teknologi tinggi atau pertanian pintar dan internet segalanya.


Pengarang :