Selangorkini
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Dato’ Seri Amirudin Shari serta beberapa pimpinan melaungkan reformasi selepas perasmian Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma, Ampang pada 26 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Ahli lebih sejuta, KEADILAN parti pelbagai kaum paling berjaya

SHAH ALAM, 12 OGOS: Jumlah keanggotaan KEADILAN melebihi sejuta sekali gus menjadi parti pelbagai kaum paling berjaya, kata setiausaha pengelolanya.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata selepas 21 tahun penubuhan, bilangan anggota parti mencecah 1,004,629 manakala kekuatan ranting ialah 1,108 di 222 cabang KEADILAN seluruh negara.

“KEADILAN mencatat pencapaian terbaik sejak penubuhannya dan perkembangan terkini membuktikan parti tetap utuh serta kuat dengan sokongan juga dukungan rakyat.

“Fakta ini membuktikan kekuatan KEADILAN sebagai parti massa, nasional dan pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nik Nazmi bagaimanapun mengingatkan pemimpin dan ahli supaya jangan cepat berpuas hati kerana pencapaian tersebut masih terlalu awal untuk diraikan.

“Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN melalui mesyuarat bulanannya pada 26 Julai lalu menggesa setiap lapisan kepimpinan parti mempergiatkan usaha menarik anggota dan penubuhan ranting baharu yang merupakan tumpuan utama sebagai persediaan berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata permohonan keanggotaan boleh dibuat menerusi https://keanggotaan.keadilanrakyat.org/ manakala permohonan pembentukan ranting menerusi https://keadilanrakyat.org/index.php/ranting/


Pengarang :