Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Najwan Halimi menyampaikan ucapan ketika program Majlis Jelajah Presiden ke Negeri Selangor 2020 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 7 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

AMK Selangor himpun kekuatan kukuhkan parti

SHAH ALAM, 7 OGOS: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor mengingatkan ahlinya supaya tidak diheret rasa kecewa berikutan pengkhianatan segelintir pemimpin parti.

“Pastikan jangan pernah gundah gulana, patah harap (dengan parti). Selagi setia dengan parti, kita akan rangkul, raikan dan bergerak padu,” kata Najwan Halimi.

Berucap dalam Majlis Jelajah Presiden ke Selangor di sini malam tadi, beliau sebaliknya berkata ‘Langkah Sheraton’ pada Februari lalu memberi hikmah kerana pergerakan AMK mereka tidak lagi disekat.

“Sebelum ini nak bergerak banyak kekangan, bukan dari luar tapi dari dalam. Mereka dah nyah dari parti jadi kita boleh berhimpun dan bergerak,” kata beliau.

‘Langkah Sheraton’ melibatkan beberapa bekas pemimpin utama parti itu mengakibatkan Pakatan Harapan hilang kuasa pada peringkat persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik berkata kejayaan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menerajui Selangor membuktikan parti berkenaan mampu memimpin negara.

“Ini kekuatan kita (KEADILAN). Jangan bagi ruang mana-mana pihak perlekehkan kita. Jangan cabar, kita kena kukuh,” katanya.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor yang juga Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta pemimpin utama parti hadir program itu.


Pengarang :