AGENDAEKONOMINASIONAL

Eksport dijangka sederhana 3.5 peratus pada 2020 – Matrade

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Eksport Malaysia dijangka menguncup sederhana sebanyak 3.5 peratus tahun ini berbanding pertumbuhan 1.7 peratus (bernilai RM986.38 bilion) pada 2019, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, eksport negara merosot 6.8 peratus berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini disebabkan oleh PKP di Malaysia, sekatan pergerakan keluar masuk di seluruh dunia dan gangguan rantaian bekalan global, (oleh itu) orang ramai tidak melancong dan sudah tentu perdagangan dunia akan terjejas,” katanya kepada pemberita pada pelancaran pameran maya, #MyAPEC2020 Exhibition di sini hari ini.

“Kami yakin, yang terburuk ialah tanpa mengambil kira perkara luar jangka berikutan kemunculan kluster penularan Covid-19 yang lain, yang kami harapkan tidak berlaku,” kata Wan Latiff.

“(Bagaimanapun) kami melihat momentum peningkatan sejak Jun 2020 memandangkan eksport pada bulan itu menokok 8.8 peratus selepas mencatat kemerosotan dua bulan berturut-turut pada April dan Mei iaitu masing-masing 23 peratus dan 25 peratus,” katanya.

“Tetapi, saya yakin ia tidak akan setanding dengan paras yang kita lihat tahun lepas, sekiranya kita bercakap mengenai unjuran, (ia) masih menyusut 3.5 peratus berbanding (pertumbuhan 1.7 peratus) tahun lepas,” kata Wan Latiff.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menerusi agensinya, Matrade melancarkan pameran maya #MyAPEC2020 Exhibition yang dijadualkan bermula 1 September hingga 31 Disember 2020 bersempena Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dihoskan Malaysia pada tahun ini.

Pada pelancaran itu, MATRADE turut bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Fusionex, Rakan Teknologi rasmi bagi pameran itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong melancarkan pameran maya itu, yang pertama seumpamanya di Malaysia dan akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang sama dalam masa terdekat.

Ia akan mempamerkan produk-produk dan perkhidmatan melibatkan lebih 300 pempamer dari Malaysia dan anggota ekonomi APEC yang lain.

Produk-produk itu adalah daripada lapan sektor iaitu teknologi, makanan dan minuman inovatif dan makanan agro, teknologi dan tenaga hijau, penjagaan kesihatan, perkhidmatan profesional dan perniagaan, pengangkutan dan logistik, gaya hidup dan bahan binaan.

Selain pameran maya, program itu akan menyediakan platform perniagaan antaranya mesyuarat perniagaan kepada perniagaan secara maya, padanan dan pengurusan mesyuarat untuk para pempamer dengan pembeli asing serta penganjuran webinar bagi menyediakan maklumat terkini mengenai peluang eksport.

Menerusi usaha-usaha ini yang dibangunkan menggunakan sistem digital, pameran ini akan menggalakkan hubungan perniagaan yang lebih baik di antara Malaysia dan entiti perniagaan APEC.

Pameran secara maya itu yang akan bermula secara langsung pada 1 Sept 2020 boleh diakses menerusi myapec2020.matrade.gov.my atau portal APEC dan laman web MATRADE.

Syarikat-syarikat Malaysia yang berminat untuk menyertai #MyAPEC2020 Exhibition boleh menghubungi sekretariat program menerusi [email protected].

Untuk maklumat lanjut mengenai APEC 2020, layari www.myapec2020.my

-BERNAMA


Pengarang :