Menteri Kanan Infrastruktur yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan) bersama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen di antara Ketua Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (dua, kiri) dan Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid (dua, kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Program Penjana Kerjaya PERKESO Sektor Pembinaan hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 126,000 pekerjaan didaftarkan di portal MyfutureJobs

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Sebanyak 126,969 kekosongan jawatan didaftarkan majikan sejak Portal Pekerjaan Negara MyfutureJobs dilancarkan dari 15 Jun hingga 7 Ogos lalu.

Menteri Kanan Infrastruktur yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata daripada jumlah itu, sebanyak 6,564 kekosongan adalah dalam sektor pembinaan.

Beliau berkata kekosongan dalam sektor itu merangkumi sejumlah 3,045 jawatan atau 46.4 peratus dalam kategori pengurusan, profesional, eksekutif, juruteknik manakala bakinya terdiri daripada pelbagai pekerjaan lain iaitu pengkeranian hingga pekerjaan asas.

“Banyak belia kita keluar dari universiti yang kita akan latih. Harap-Harap mereka boleh mengisi kekosongan jawatan ini di semua peringkat dan mereka yang ada pengetahuan dalam bidang teknikal ataupun berminat dalam bidang teknikal ini, juga kita akan latih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sempena Program Penjana Kerjaya Perkeso, Sektor Binaan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Melalui MoU itu, Perkeso akan membiayai latihan ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ yang akan dilaksanakan CIDB menerusi Program Penjana Kerjaya dan ia terbuka bukan sahaja kepada pencarum agensi itu yang kehilangan pekerjaan malah semua pekerja yang diambil mulai 5 Jun lalu.

Ia termasuk lepasan universiti atau sekolah, pekerja yang diberhentikan dan penganggur manakala bagi pekerja yang diberhentikan kerja, mereka tidak dikenakan apa-apa syarat tetapi majikan tidak layak menuntut insentif pengambilan sekiranya menggaji semula mereka di syarikat sama.

Kerajaan juga sedang mengkaji semula kesan langkah pemberian diskaun tol sebanyak 18 peratus di semua Lebuhraya Plus bermula 1 Februari lalu terhadap dasar penswastaan negara berkaitan lebuh raya.

“Apabila kerajaan Pakatan Harapan membuat keputusan memberikan (diskaun tol) 18 peratus terhadap Lebuhraya PLUS, kita kena kaji balik setakat mana impaknya kepada keseluruhan dasar penswastaan berkaitan lebuh raya kerana ia memberi impak kepada (kadar tol) lebuh raya lain yang terus naik.

“Namun Lebuhraya Utara Selatan terus kekal pada satu harga, apa kesannya kepada lebuh raya baharu yang sedang dalam pembinaan dan cadangan lebuh raya baharu, ini perlu dibincangkan dan diputuskan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :