Orang awam mematuhi penjarakan fizikal di medan selera pusat membeli-belah Aeon Big Ampang, ketika tinjauan SelangorKini pada 3 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Kali ke-39 Selangor tiada kes penularan tempatan

SHAH ALAM, 11 OGOS: Situasi Covid-19 di Selangor terus menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan sifar kes penularan tempatan buat kali ke-39 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS) hanya satu kes baharu direkodkan hari ini membabitkan pengembara yang pulang dari New Zealand.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini sebanyak 2,139 manakala empat kes aktif dengan kebolehjangkitan.

“Tiada kes pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kes sembuh sebanyak 1,905 dan angka kematian kekal 24 orang,” menurut data berkenaan.

Tiga daerah masih berstatus zon kuning susulan terdapat kes aktif iaitu Sepang (dua) manakala Hulu Langat dan Petaling masing-masing satu.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menggesa orang ramai supaya sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam usaha membendung pandemik itu.

“STFC ingin mengingatkan bahawa norma baru (seperti) penjarakan fizikal, basuh tangan secara kerap, gunakan SELangkah (Langkah Masuh Dengan Selamat) ketika masuk premis bukanlah satu pilihan tetapi keperluan yang perlu dipatuhi,” katanya di Facebook.

Hari ini, Malaysia merekodkan sembilan kes baharu membabitkan lima kes import dan empat penularan tempatan.


Pengarang :