Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mendeklamasikan puisi ketika Majlis Baca Puisi Merdeka ke-22 di Rumah Pena Bukit Petaling, Kuala Lumpur pada 14 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB baca sajak tema merdeka, kongsi kisah jadi deklamator

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: Dato’ Menteri Besar mendeklamasi sajak bertema Hari Kemerdekaan berjudul ‘Di halaman kembang sepatu ini, selamanya sejahteralah warga’ di Rumah Pena di sini malam tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari membaca puisi karya Allahyarham Sazalee Yacob dalam Majlis Baca Puisi Merdeka ke-22 anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) di Rumah Pena.

Dalam acara yang turut dihadiri Sasterawan Negara Datuk Zurinah Hassan, Presiden Pena Dr Saleeh Rahamad dan beberapa penyair terkenal, beliau turut menyempurnakan pelancaran antologi bertajuk ‘Puisi untuk Maharani’ tulisan Datin Barupawati Utamaju.

Amirudin juga berkongsi penglibatannya dalam dunia seni termasuk kerap menyertai Sayembara Puisi Hari Kemerdekaan dengan mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau turut berkongsi kisah puisi Sazalee itu “tidak sempat” dideklamasikan dalam sayembara peringkat universiti pada 2001 kerana namanya tidak didaftar.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan peluncuran buku Puisi Untuk Maharani ketika Majlis Baca Puisi Merdeka ke-22 yang turut dihadiri Sasterawan Negara, Dato’ Dr Zurinah Hassan di Rumah Pena Bukit Petaling, Kuala Lumpur pada 14 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya berlatih sajak ini dengan Lim Swee Tin dan Aripin Said, pensyarah UPM ketika itu. Berlatih dekat sebulan, hampir setiap malam saya berlatih.

“Bila pergi di Universiti Malaya, …ini yang menggelikan hati, UPM lupa daftarkan saya. Jadi tak sempat baca puisi masa itu. Jadi inilah sajaknya,” katanya yang muncul naib johan sayembara itu pada tahun sebelumnya.

Apabila dilantik sebagai EXCO budaya pada 2015, beliau memperkenalkan anugerah Hadiah Sastera Selangor yang menilai cerpen, sajak dan esei dalam SelangorKini, sebuah akhbar rasmi Kerajaan Selangor.

Susulan pelantikannya sebagai Dato’ Menteri Besar dua tahun lalu, anugerah itu diteruskan sehingga kini dan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada penulis khususnya anak muda.


Pengarang :