Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari melawat mangsa banjir di Dewan SJK(C) Dengkil pada 20 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tempoh selenggara saliran kawasan banjir lanjut sebab PKP

KUALA SELANGOR, 4 OGOS: Tempoh naik taraf saliran di kawasan banjir terpaksa dilanjutkan selepas terhenti susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata keadaan bertambah buruk berikutan cuaca tidak menentu yang menjejaskan beberapa kawasan antaranya Semenyih, Kajang, Sepang, Dengkil dan Sungai Tua.

“Tahun ini sahaja Selangor peruntuk RM10 hingga RM15 juta bagi penyelenggaraan saliran, namun tertangguh kerana PKP. Kebetulan kita berhadapan cuaca tidak menentu yang menyebabkan banjir kilat kerana kuantiti hujan melebihi kapasiti saliran,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau mengulas rungutan orang awam berhubung insiden banjir kilat berulang kali di beberapa lokasi di seluruh negeri.

Sementara itu, Amirudin berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pengairan Saliran bagi memastikan Rancangan Tebatan Banjir dilaksanakan sebaiknya.

Pada 19 Julai lalu, sebanyak 41 kawasan di lima daerah dilanda banjir menyebabkan 265 penduduk daripada 62 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Hulu Langat paling teruk terjejas membabitkan 22 kampung dan taman perumahan serta sekolah diikuti Sepang sebanyak 12 lokasi, Hulu Selangor (empat), Gombak (dua) dan Klang (satu).


Pengarang :