PBTSELANGOR

MPKL: Patuh prosedur pelupusan sampah, elak kena tindakan

SHAH ALAM,  13 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengarahkan semua pemilik premis perniagaan di kawasan pentadbirannya menyediakan tong sampah jenis Mobile Garbage Bin (MGB) 240 liter bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Yang Dipertuanya berkata pemantauan mendapati sebahagian pemilik premis perniagaan di daerah itu masih gagal mematuhi syarat pelesenan berkaitan pengurusan pelupusan sampah domestik dengan betul.

“Peniaga atau pemilik premis perlu mematuhi prosedur pelupusan sampah seperti menyediakan tong sampah MGB 240 liter, tidak membuang sampah ke dalam longkang atau mana-mana tempat awam.

“Sampah hendaklah dimasukkan ke dalam beg plastik dan diikat kemas serta diletakkan di dalam tong sampah (tiada kebocoran pada beg plastik sampah tersebut) selain perlu menjaga kebersihan di sekitar premis,” kata Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim menerusi kenyataan.

Beliau berkata kegagalan mematuhi peraturan boleh dikompaun tidak lebih RM1,000 atau tindakan pendakwaan di mahkamah dengan denda tidak lebih RM2,000 dan pembatalan lesen.

 


Pengarang :