Tiga pengunjung bergambar berhampiran Menara Berkembar Kuala Lumpur ketika tinjauan pada 1 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis ambil tindakan dua individu ingkar SOP

SHAH ALAM, 12 OGOS: Polis bertindak ke atas dua individu kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) kuarantin wajib, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu diambil hasil pemeriksaan dan pemantauan polis serta petugas Kementerian Kesihatan di kediaman mereka semalam.

“Mereka gagal mematuhi SOP walaupun sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing. Justeru, tindakan dikenakan terhadap mereka kerana ingkar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata polis melakukan 1,559 pemeriksaan terhadap individu sedang menjalani kuarantin wajib dalam tempoh sama di kediaman masing-masing semalam.

Sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 9,984 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 61 hotel dan lima Institut Latihan Awam di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak, Perlis, Kedah, Labuan dan Johor.

“Daripada jumlah itu, 20 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 2,200 lagi dibenarkan pulang,” katanya.

Mereka telah pulang dari 31 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia dan New Zealand.


Pengarang :