Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon
AGENDANASIONAL

Selangor beraksi di Stadium UiTM untuk Liga-M – Dr Johan

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pasukan Selangor akan menjadikan Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai gelanggangnya bagi saingan kejohanan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan disambung 26 Ogos ini.

Setiausaha Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berkata pendekatan itu diambil kerana Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan beberapa kertas cadangan untuk proses baik pulih Stadium Shah Alam.

“FAS membuat keputusan bermain di tempat lain sambil beri ruang Stadium Shah Alam ditambah baik. Malah, kita juga cuba elak ketika Liga-M berlangsung tiba-tiba proses penambahbaikan perlu dijalankan,” kata Dr Johan Kamal Hamidon dalam kenyataan.

Beliau berkata perkara itu juga selari ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mahu Liga-M dijalankan tanpa penonton.

“Pada awalnya FAS berhasrat untuk habiskan kesemua baki perlawanan musim 2020 di Stadium Shah Alam kerana kita telah menjual pas bermusim kepada penyokong. Justeru (dengan keputusan MKN dan MFL) kita memilih berpindah lebih awal kerana komitmen menyediakan tempat duduk untuk penyokong bukan lagi fokus buat masa ini,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Johan berkata FAS juga sedang mempertimbangkan Stadium MBPJ sebagai gelanggang sementara The Red Giants untuk aksi tahun depan.

“Saya faham perasaan penyokong yang mahu pasukan kegemaran beraksi di gelanggang sendiri tetapi proses tambah baik ini perlukan sumber dan masa terperinci. Diharap penyokong boleh bagi masa untuk FAS mengkaji, memahami dan mencari dana membina stadium sendiri,” katanya.


Pengarang :