Ng Sze Han melawat pasar pagi MPSJ di Bandar Puchong Jaya kembali beroperasi pada 16 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Pasar pagi dan malam, bazaria bebas peniaga warga asing

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pemantauan pihak berkuasa mendapati tiada warga asing menjalankan perniagaan di pasar pagi dan malam serta bazaria seluruh negeri, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata kejayaan tersebut hasil kerjasama masyarakat, pemimpin setempat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membersihkan Selangor daripada kebanjiran peniaga warga asing.

“Tindakan tegas perlu diambil bagi mendahulukan peniaga tempatan meraih lebih keuntungan tatkala keadaan ekonomi terjejas akibat Covid-19 dan saya secara peribadi menyifatkannya sebagai pencapaian membanggakan.

“Semoga perkara ini berterusan bukan sahaja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi sampai bila-bila atau ketika negara telah bebas ancaman wabak sekalipun,” katannya kepada SelangorKini hari ini.

Sze Han memberi amaran lesen perniagaan milik rakyat tempatan akan terbatal sekiranya urus niaga dikendalikan pasangan warga asing dan perkahwinan mereka untuk tujuan berkenaan.

Pada 15 Jun, Selangor membenarkan operasi pasar pagi dan malam serta bazaria dibuka secara berperingkat dengan ditentukan PBT mengikut kesesuaian kawasan.

Sebelum ini kesemua pasar berkenaan di seluruh negara tidak beroperasi susulan penguatkuasaan PKP bagi mengekang penularan Covid-19.


Pengarang :