EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud bergambar dengan peserta Ekspo Hasil Suri Selangor Sempena Hari Wanita Peringkat Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam di Shah Alam pada 8 Mac 2020. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

‘Wanita waja negara sejahtera’ tema Hari Wanita Kebangsaan 2020

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Sambutan Hari Wanita Kebangsaan tahun ini bertemakan ‘Wanita waja negara sejahtera’ bersesuaian dengan semangat serta pengorbanan golongan wanita terutamanya ketika berdepan pandemik Covid-19.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), dalam kenyataan malam ini, berkata golongan itu juga adalah tonggak kepada kejayaan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sama ada penglibatan secara langsung sebagai barisan hadapan mahupun tanggungjawab dalam institusi keluarga.

Kementerian itu berkata tema itu dipilih bagi memberi inspirasi kepada golongan wanita selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keupayaan wanita dalam pembentukan keluarga, perpaduan dan pembangunan masyarakat serta negara.

Menyedari peranan wanita dalam pembangunan negara daripada segi ekonomi dan kesejahteraan negara, KPWKM turut menyeru masyarakat bersama bergerak dan menyokong usaha kerajaan dalam memperkasa wanita melalui pelbagai pendekatan.

-BERNAMA


Pengarang :