AGENDANASIONAL

25 migran ditahan menerusi Op Benteng

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Cubaan 25 migran untuk keluar dan masuk ke negara ini gagal, setelah ditahan Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) dalam dua serbuan menerusi OP Benteng di Johor, awal pagi semalam.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka, dalam kenyataan berkata, kesemua mereka merupakan warga Indonesia, dan 10 daripadanya dipercayai ingin pulang ke negara asal, manakala selebihnya baru memasuki negara ini.

Menurut kenyataan itu, ketika pasukan tersebut sedang menjalankan tugas kira-kira 1 pagi, anggota petugas pos pemerhati mendapati terdapat sebuah bot kecil sedang merapati pesisir pantai pada jarak 400 meter dari pantai Padang Mulud, Bandar Penawar, Johor.

“Hasilnya, sembilan warga Indonesia ditahan ketika bersembunyi di dalam semak, dipercayai sedang menunggu untuk menaiki bot pulang ke Indonesia. Bagaimanapun, bot tersebut terus beredar dari lokasi berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pada jam 2.30 pagi, seorang lagi pendatang tanpa izin warga Indonesia ditahan oleh Pasukan Atur Gerak Cepat (QRF) berdasarkan pengesanan tapak kaki, ketika bersembunyi di hutan pada jarak satu kilometer dari lokasi serbuan.

Seterusnya pada jam 7.30 pagi, empat migran dipercayai baru tiba di Malaysia ditahan oleh anggota petugas pos pemerhati, di satu kawasan persembunyian di dalam hutan itu.

Kira-kira 10 pagi pula, kumpulan QRF menangkap 11 lagi migran yang bersembunyi di kawasan hutan, dipercayai baru masuk ke negara ini.

“Keseluruhan tangkapan terdiri daripada 13 lelaki dan 12 perempuan berusia sekitar 21 hingga 57 tahun, dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM28,489.40 melibatkan wang tunai berjumlah RM8,600 dan Rupiah 19,487.025 (RM5,459.40) serta 30 telefon bimbit,” kata kenyataan itu.

Kesemua mereka dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

– BERNAMA


Pengarang :