Seorang anggota polis memasang poster kesihatan berhubung Covid-19 di stesen kereta api Tanyong Mat di wilayah selatan Narathiwat, Thailand pada 11 Jun 2020 selepas perkhidmatan itu kembali beroperasi. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Pemain bola sepak positif Covid-19, Thailand tingkatkan kesan kontak

BANGKOK, 14 SEPT: Thailand terus bertindak pantas melakukan pengesanan kontak selepas seorang pemain Kelab Bola Sepak Buriram United berusia 29 tahun dari Uzbekistan, diumumkan positif Covid-19 pada Jumaat.

Sehingga kini, Jabatan Pengawalan Penyakit telah menyaring hampir 145 orang termasuk pemain bola sepak dan kakitangan dari tiga kelab yang mungkin mempunyai kontak dengan pemain tengah yang dijangkiti itu.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dalam kenyataan, 47 individu dikenal pasti sebagai kontak rapat termasuk pemain dan kakitangan Kelab Bola Sepak Buriram United, telah menjalani ujian Covid-19.

“Empat puluh lima daripada mereka diuji negatif manakala dua lagi menunggu ujian semula,” menurut kenyataan itu.

Pada Jumaat, Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Kementerian Kesihatan Awam, Dr Opas Karnkawinpong mengesahkan pemain bola sepak Uzbekistan itu positif Covid-19.

Sebanyak 1,115 individu termasuk pengadil, pemain dan orang ramai yang terlibat dalam Liga 1 dan 2 Thai, diuji pada Selasa (8 September), menjelang bermulanya musim bola sepak Thailand pada hari Sabtu (12 September) dan warga Uzbekistan itu satu-satunya yang mendapat keputusan positif selepas keputusan itu diperoleh pada Khamis (10 September).

Sebelum ujian prapertandingan itu, pemain bola sepak tersebut dan rakan sepasukannya telah mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan Kelab Khon Kaen United (5 September) dan Kelab Bola Sepak Ratchaburi (30 Ogos).

CCSA berkata semua pemain dan petugas bola sepak serta pelatih dan pemandu dari dua kelab berkenaan, juga menjalani ujian Covid-19 dan masih menunggu keputusan mereka.

Sementara itu, pegawai kesihatan awam Buriram telah mengesan 367 individu termasuk 27 dikenal pasti dalam kumpulan berisiko tinggi yang mempunyai kontak dengan pemain bola sepak itu.

Pemain bola sepak Uzbekistan itu tiba di Thailand pada 13 Ogos dan selesai menjalani kuarantin 14 hari pada 27 Ogos.

Sementara itu, Ketua Pusat Kecemerlangan Klinikal Virologi Universiti Chulalongkorn Dr Yong Puworawan berkata tempoh inkubasi bagi pemain bola sepak itu mungkin lebih daripada 14 hari dan tidak mungkin daripada jangkitan tempatan.

Thailand setakat ini mencatatkan 3,473 kes Covid-19 dengan 58 kematian.

– BERNAMA


Pengarang :