PBT SELANGOR

Air pasang besar: 10 kawasan di Klang berisiko tinggi

KLANG, 17 SEPT: Sebanyak 10 kawasan di Klang dikategori sebagai berisiko tinggi memandangkan fenomena air pasang besar kali ini diramal mencecah ketinggian 5.8 meter.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata mengambil kira pengalaman pada 2016 dan 2017, pihaknya khuatir fenomena itu boleh menyebabkan ban pecah.

“Namun mensyuarat Jawatankuasa Insfrastruktur hari ini memaklumkan ban yang ada melebihi tahap ketinggian jangkaan air pasang,” katanya selepas merasmikan Program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia hari ini.

Beliau menambah lima pusat pemindahan sedia dibuka jika berlaku banjir dan berkata anggota penguat kuasa dan pihak berkaitan sentiasa bersiap siaga bagi memastikan kebajikan penduduk terjamin.

“Kita sudah kenal pasti dewan-dewan yang akan digunakan untuk menempatkan penduduk, jadi kita minta penduduk supaya bersedia jika diarah berpindah selain menyimpan segala dokumen penting di tempat selamat,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Penguat Kuasa MPK Sharul Hazri Abdul Majid berkata pihaknya menempatkan anggota di kawasan terlibat yang bertugas 24 jam dengan tiga waktu giliran membabitkan dua pasukan.

Kawasan terlibat ialah Kampung Tok Muda, Sungai Pinang Pulau Indah, Pandamaran, Pelabuhan Klang, Kampung Sungai Serdang, Ban Sementa, Ban Sungai Keramat, Kampung Perempat, Pelabuhan Utara, Telok Gong dan Pulau Ketam.


Pengarang :