Penasihat ekonomi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhammed Abdul Khalid.
AGENDANASIONAL

Belanjawan Selangor perlu fokus perlindungan sosial pasca Covid-19

SHAH ALAM, 7 SEPT: Belanjawan Selangor perlu memberi fokus kepada perlindungan sosial supaya golongan bawahan yang terjejas akibat Covid-19 dapat dibantu.

Penasihat ekonomi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Kerajaan Negeri tidak boleh berbangga dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi jika rakyat masih terbeban terutama kanak-kanak, ibu tunggal dan warga emas.

“Belanjawan Selangor perlu diukur sebaiknya dan apa hasil yang kita mahukan. Kita perlu lindungi kanak-kanak, ibu tunggal dan warga emas.

“Kita tidak boleh fokus mengukur KDNK sahaja tetapi memberi tumpuan sama ada kanak-kanak ini bersekolah atau tidak, adakah mereka dapat makanan yang sepatutnya, warga emas dan ibu tunggal.

“Apabila semua golongan ini dilindungi, isu pekerjaan, perumahan mampu milik kita akan dapat tangani,” kata Dr Muhammed Abdul Khalid pada Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Muhammed menjelaskan Kerajaan Negeri perlu membuat tinjauan khusus di kawasan diduduki golongan berpendapatan rendah bagi mendapat gambaran sebenar kumpulan sasar yang memerlukan bantuan.

Tambahnya, strategi ekonomi kini perlu menumpukan usaha membantu dan kerajaan boleh meningkatkan defisit seperti yang dilakukan Singapura agar rakyat dapat bekerja serta menyumbang kepada pertumbuhan negara.

“Kerajaan jangan kedekut. Kita harus berbelanja, tidak ada guna jika tidak mahu hutang tinggi tetapi rakyat sengsara. Untuk jangka masa panjang lebih ramai yang tidak bekerja dan tiada siapa akan bayar cukai.

“Lebih baik berbelanja lebih supaya rakyat mempunyai kerja dan boleh membayar cukai,” katanya.


Pengarang :