BUDAYARENCANA

Biah

Oleh Maslinah Abdul Malek

BIAH cekak pinggang. Mengah. Nafasnya turun-naik. Laju. Badannya ditundukkan sekejap, kemudian berdiri tegak, cuba menarik nafas perlahan. Tarik, lepas, tarik, lepas. Tekaknya kering. Perit! Peluh yang berjejer memenuhi dahi diseka. Pandangannya dilemparkan jauh ke depan. Otaknya ligat berfikir. Ya, dia perlu membuat pilihan dengan segera.

Beberapa meter lagi Biah akan melintasi rumah Mak Ngah Odah. Biah perlu berkira-kira bagaimana untuk melepasi kawasan itu dengan cepat. Sama ada berlari laju dan pekakkan telinga seperti biasa, atau ambil laluan bertentangan. Pilihan kedua, jaraknya lebih jauh kerana dia perlu membelah bendang saujana mata memandang. Laluan ini juga membawanya melalui rumah Pudin dan kawan-kawan. Biah menggesit kelopak mata apabila disapa bayangan Pudin sedang memetik gitar. Biah lebih rela menadah cakap-cakap Mak Ngah Odah berbanding menadah pandangan mata budak-budak bujang yang kadangkala seperti mahu menelannya.

“Perjuangan ini bukan mudah. Apa-apa pun cabarannya, Biah mesti kuatkan hati!”

Biah melajukan langkah. Dia tidak mahu peduli cakap-cakap orang. Misinya hari ini mesti dicapai. Malah bukan hari ini sahaja, sudah sebulan Biah berjalan dan berjalan. Selain itu, Biah amalkan pemakanan sihat. Biah tidak lagi ambil gula putih dan makanan berminyak. Biah lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Biah cekalkan hati, walaupun suami sendiri mentertawakannya. Semalam, suaminya sengaja memesan dua cawan cendol durian dan dua mangkuk sup perut. Berkerut-kerut dahi Biah menyedut lemak-lemak dalam keterpaksaan. Bukan suaminya tidak tahu dia sedang berjuang. Tapi itulah, suaminya sengaja mengusik. Menguji kesabaran dan semangat Biah. Sememangnya perjuangan bukanlah jalan yang mudah.

“Teruslah berjalan, Biah!” Biah menepuk-nepuk bahu sendiri.

Biah sendiri tidak pasti dari mana datangnya kekuatan. Seperti mana dia tidak tahu ‘saka’ mana yang menyampuknya sebelum ini sehingga selera makannya naik mendadak selepas melahirkan anak ketiga. Alasan paling masuk akal ialah Biah menyusukan anak. Biah cepat lapar. Selepas habiskan baki makanan Awatif, anak sulungnya, selang beberapa ketika Biah hadap roti coklat kismis jenama Gardenia cicah kopi ‘o’. Kalau datang rajinnya, tergolek-goleklah jemput-jemput manis dalam kuali. Biskut gula atau biskut jagung memang sentiasa ada dalam balang. Perut Biah sentiasa berkugiran: makan, makan, makan.

Sekarang hidup Biah berpusing 180 darjah. ‘Saka perut’ Biah lenyap entah ke mana. Nasi cuma diambil dalam kuantiti yang sedikit. Ada harinya nasi tidak dijamah langsung. Biah telan roti gandum penuh atau sumber karbohidrat lain seperti kentang dan keledek. Pagi-pagi, Biah mulakan hari dengan jus epal hijau campur saderi dan lemon, atau nanas campur lobak merah dan sedikit halia. Paling tidak, seminggu sekali Biah minum campuran perahan epal merah, lobak putih, bayam, timun jepun dan sedikit kunyit hidup. Biah tahan diri daripada ambil makanan atau minuman manis serta seboleh-bolehnya mengurangkan makanan berminyak. Biah sudah jadi pencinta sayur dan buah-buahan.

Bunyi lengkingan panjang sekumpulan bangau memikat perhatian Biah. Kawanan bangau berbulu putih dengan paruh hitam membelah udara menyerong ke timur sebelum akhirnya seekor demi seekor mendarat di petak sawah. Ada yang berdiri kaku – membiarkan matanya memandang jauh ke hadapan. Ada yang meranduk tanah berair – mencari kelibat ikan, udang, atau serangga.

“Engkau juga sedang berjuang untuk hidup, bangau! Tidak mudah selesa, tidak kunjung putus asa,” desah hati Biah. Kawanan bangau kembali melayang ke udara, berpindah dari satu petak ke petak yang lain.

Di sisi sebelah kiri kelihatan seorang lelaki bertopi di tengah-tengah petak sawah. Lelaki yang sekejap tegak sekejap tunduk itu khusyuk bekerja dalam panahan garang matahari. Seawal pagi lelaki itu sudah keluar mengerjakan bendang hari demi hari, berkeringat untuk hasil yang belum pasti. Usaha menanam padi bukan kisah sehari-dua. Bermula dengan membugar tanah, menabur benih, menyembur baja, meracun, merumput dan seterusnya. Maka benarlah, sebutir beras, setitik peluh pesawah.

Biah sedut udara segar dalam-dalam. Inilah detik yang paling Biah suka. Sama seperti dirinya, alam juga sedang berjuang. Biah, si bangau putih dan lelaki pesawah. Angin semilir bagai menyanyikan lagu meniup semangat ke dalam jiwa. Semangat yang teguh menolak Biah untuk berjalan dan terus berjalan.

Sedar tak sedar Biah tiba di hadapan rumah Imam Zuki. Spontan Biah menukar rentak, berlari-lari anak. Biah perlu segera melepasi rumah Mak Ngah Odah yang terletak bersebelahan rumah Imam Zuki. Bukan apa, rumah Mak Ngah Odah selalu menjadi tempat berkumpulnya jiran-jiran bersembang.

“Hai, Biah! Dah buang tabiatkah berjalan tak habis-habis? Aku tengok tak kurus-kurus pun!”

Biah senyum sahaja, walaupun juih mulut Mak Ngah Odah menghiris hatinya.

“Buat apalah susah-susahkan diri, Biah? Kau berlari ni, anak-anak kau tu siapa yang tengokkan? Manan? Makin kuruslah laki kau yang dah memang sekeping tu,” omelan Mak Ngah Odah masih belum berhenti.

“Biah, Biah. Tak lama lagi boleh pakai kebayalah kau, ya!” Juni anak Cu Jenab pula tergelak besar sambil menepuk-nepuk paha Ramlah.

Bukan sekali dua Biah ditertawakan, tapi Biah tahankan hati. Manusia selalu bercita-cita mahu mengubah dunia, sayangnya terlupa mengubah diri sendiri. Ya, Biah sedang berusaha mengubah dirinya. Bukankah lompatan yang jauh bermula dari langkah kecil?

Biah terfikir, apalah sangat panahan kata-kata Mak Ngah Odah berbanding panahan terik mentari yang ditadah lelaki pesawah setiap hari. Sepedih manalah sangat kata-kata orang kampung yang ditelan berbanding pedihnya perut menahan lapar tatkala rezeki belum tertulis buat kawanan bangau yang berterbangan sejak awal pagi.

Ah, kadangkala persahabatan manusia dan alam lebih indah. Bangau putih dan lelaki pesawah saling memberi manfaat dan perlu-memerlukan. Bendang jadi sumber rezeki bagi kedua-duanya. Lalu mengapa mahu musuh-memusuhi atau dengki-mendengki? Pandai-pandailah mengatur langkah sendiri!

Biah membelok ke kanan. Hatinya betul-betul lega kerana tiada sindiran sinis yang menyapa seperti selalu. Pondok tempat Mak Ngah Odah dan jiran-jirannya berlonggok, kosong. Cepat-cepat Biah membelah petak-petak sawah yang terbentang luas di hadapan. Mulutnya tidak putus-putus mengucapkan syukur.

Sayup-sayup kedengaran bunyi enjin motor. Semakin hampir, tahulah Biah itu kelibat Juni.

“Dari mana, Juni?” Biah berbasa-basi.

“Dari hospital, jenguk Ramlah.”

“Eh, kenapa dengan Ramlah?”

“Kau tak tahu ke Biah? Ramlah dah dua hari masuk wad. Mak Ngah Odah dah dua malam jugalah tidur di sana menemankan anaknya tu.”

“Masuk wad? Sakit apa?”

“Kata Mak Ngah, Ramlah makan pil kuruskan badan. Tiba-tiba sahaja dia tak sedarkan diri!”

Pegun. Biah pandang bangau putih. Biah pandang lelaki pesawah. Biah jalan. Dan terus berjalan.

 


Pengarang :