Taman Melawati River Three Park, Cabin River Care & Education Centre, Kuala Lumpur pada 26 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kasa tambah peruntukan RM66 juta untuk pemuliharaan sungai

KOTA BHARU, 27 SEPT: Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) memperuntukkan RM66 juta lagi untuk melaksanakan 802 projek pemuliharaan sungai dalam usaha mengurangkan risiko banjir di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata peruntukan itu adalah tambahan kepada peruntukan sedia ada yang diluluskan Unit Perancang Ekonomi di bawah Rolling Plan 4 (RP4) berjumlah RM80.3 juta untuk pelaksanaan 615 projek.

Menurut beliau, projek terbabit yang dijangka siap menjelang penghujung tahun ini memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 penduduk.

“Kesemua 802 projek ini untuk menangani dan mengurangkan impak kejadian banjir kepada rakyat melalui pelaksanaan kerja pemuliharaan tebing sungai, menaik taraf sistem saliran, kerja-kerja kecemasan di luar jangka (sebelum atau selepas banjir) dan lain-lain skop kerja berkaitan,” katanya selepas menghadiri Majlis Cabutan Undi Bagi Kerja-kerja di Bawah Peruntukan Kasa Bagi Jajahan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Datuk Azami Mohd Nor dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia Datuk Nor Hisham Mohd Ghazali turut hadir pada majlis tersebut.

“Kasa berharap pelaksanaan projek-projek ini secara tidak langsung dapat membantu kontraktor-kontraktor kecil yang terjejas oleh pandemik Covid-19,” kata Tuan Ibrahim.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 833 kontraktor berdaftar menyertai Cabutan Undi Bagi Kerja-kerja di Bawah Peruntukan Kasa melibatkan seluruh Kelantan yang diagihkan secara berperingkat.

“Jumlah (peruntukan) keseluruhan bagi projek banjir di Kelantan ialah sebanyak RM6.4 juta dengan tumpuan di kawasan terjejas bencana itu terutama pada 2014,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :