Dunia kini berubah ke arah pendigitalan dan peralihan masyarakat tanpa tunai. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan perlu kongsi data kemiskinan digital – ahli akademik

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Pandemik Covid-19 yang berlaku di seluruh dunia menyaksikan lonjakan kebergantungan masyarakat terhadap Internet, penyertaan digital menjadi semakin penting untuk mengatasi ketidaksamaan digital.

Menyimpulkan bahawa jurang digital telah meluas dalam kalangan masyarakat di Malaysia, satu webinar yang diadakan hari ini mencadangkan agar kerajaan berkongsi data mengenai kemiskinan digital di negara ini.

“Ketersambungan Internet menjadi keperluan asas kepada masyarakat, justeru kerajaan harus memberi lebih tumpuan dalam menghapuskan jurang berkenaan,” kata Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Sosial (SSRC) di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Datuk Norma Mansor.

“Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), semestinya sedang berusaha memperbaiki infrastruktur ini. Ini kenyataan, kita sedang berkata tentang bagaimana (kekurangan pemilikan) peranti digital adalah bentuk kemiskinan yang baharu. Saya menggalakkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) atau e-Census akan datang, berkongsi dengan kita data mengenai sisi digital.

“Kemudahan asas harus menjadi teras pembangunan. Di Malaysia, kita masih ada kerja untuk dilakukan dan sudah tentu kawasan bandar mempunyai kemudahan yang berbeza. Pelaburan pada kemudahan asas kini perlu merangkumi infrastruktur telekomunikasi,” katanya.

Norma adalah seorang daripada ahli panel dalam Webinar Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertajuk ‘Unpacking Malaysia’s New Poverty Line Income (PLI) & Multidimensional Poverty Index (MPI) 2020 Report Findings’, di sini.

Dalam webinar itu, Pengerusi bersama Malaysian CSO-SDG Alliance Datuk Dr Denison Jayasooria berkata Malaysia baru-baru ini mengkaji semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PLI) daripada RM980 kepada RM2,208 selepas 15 tahun, PLI di kawasan bandar sepatutnya RM3,280 dan ia secara tepat menggambarkan kemiskinan relatif yang diukur oleh pendapatan median.

”Jika pendapatan median masih digunakan untuk mengukur kemiskinan relatif, jadi pendapatan median yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia sebenarnya RM6,561…bermaksud PLI untuk kawasan bandar sepatutnya RM3,280,” katanya menambah, angka itu tidak dapat menangani keadaan kehidupan secukupnya, khususnya di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam ucap tamanya berkata Covid-19 telah meningkatkan kepentingan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI), iaitu kunci dalam mengukur kemiskinan bukan wang.

MPI merangkumi empat dimensi iaitu pendidikan, kesihatan, taraf hidup dan pendapatan, serta 11 indikator berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi untuk Malaysia.

-BERNAMA

 


Pengarang :