Deretan kendera saji di tapak Foodtruck Drawbridge, Kuala Terengganu pada 20 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kohijrah rancang sedia tapak peniaga kendera saji di Shah Alam, Morib

KUALA TERENGGANU, 22 SEPT: Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) merancang menyediakan tapak khas untuk peniaga kendera saji di Shah Alam dan Pantai Morib.

Pengurusnya Mohammad Syukri Ismail berkata ia dapat menggalakkan trend jualan menggunakan kendera saji di negeri ini.

“Selepas melihat Terengganu mampu mewujudkan tapak perniagaan yang hebat untuk peniaga kendera saji, kami juga yakin ia akan berjaya dilaksanakan di Selangor.

Pengurus Koperasi Wisma Kohijrah, Mohammad Syukri Ismail ditemubual media selepas lawatan EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail melawat ke tapak Foodtruck Drawbridge, Kuala Terengganu pada 20 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sekiranya terdapat satu lokasi khusus untuk kendera saji, kita yakin ia akan menjadi pusat tumpuan orang ramai,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika melawat Tapak Food Truck Drawbridge bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di sini semalam.

Turut sama ialah EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail.

Dalam perkembangan sama, Mohammad Syukri berkata penduduk Selangor boleh membuat pinjaman dengan Kohijrah untuk membeli kendera saji.

“Jika ada yang berminat untuk membelinya, mereka hanya perlu bawa tiga bulan penyata bank dan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kita akan buat semakan.

“Pemohon juga boleh membuat pilihan harga kendera saji iaitu sama ada berharga RM26,500 atau RM50,000,” katanya.

Setakat hari ini, Kohijrah dengan kerjasama Agro Bank Shah Alam sudah meluluskan 50 kendera saji.


Pengarang :