Brokoli yang dirampas Maqis Selangor hasil pemeriksaan di Pelabuhan Barat, kelmarin. Foto Ihsan Maqis Selangor
AGENSISELANGOR

Maqis Selangor rampas 2,376kg brokoli berkulat dari China

SHAH ALAM, 24 SEPT: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor merampas 2,376 kilogram brokoli berkulat dari China pada Selasa lalu.

Pengarahnya, Dr Tarmisal Alimin berkata dagangan brokoli berkenaan ditahan ketika pemeriksaan di Pelabuhan Klang Barat, Klang.

“Nilai dagangan brokoli itu berjumlah RM15,684.46. Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tarmisal berkata pihaknya sentiasa teliti dan cekap menjalankan pemeriksaan bagi memastikan hasil pertanian yang diimport bebas daripada perosak dan penyakit.


Pengarang :