Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Command Centre Air Selangor, Kuala Lumpur pada 5 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Loji rawatan air tambahan atasi isu luar jangka

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Pembinaan loji rawatan air (LRA) tambahan sejak beberapa tahun lalu mengurangkan kebergantungan terhadap tiga LRA Sungai Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelan jangka panjang itu meningkatkan mutu perkhidmatan sekali gus memenuhi keperluan bekalan air bersih kepada pengguna.

“LRA Labohan Dagang kini hampir memasuki fasa kedua (pelaksanaan). Sebelum ini, Kuala Langat tempat terakhir akan menerima (bekalan air) sekiranya LRA Sungai Selangor terkesan.

“Membekalkan sekitar 50 juta liter sehari (JLH) pada fasa pertama, kita dapat tanggung sekurang-kurangnya sebahagian besar kawasan Kuala Langat jika berlaku pencemaran di Sungai Selangor,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Ibu Pejabat Air Selangor di sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman meninjau sekitar kawasan loji rawatan air di Labohan Dagang, Banting pada 28 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata LRA Langat 2 yang siap sepenuhnya pula mempunyai sekitar 400 hingga 500 JLH air dan maksimum 1,130 JLH namun masih memerlukan pengaliran paip.

“Contohnya, di sekitar Ampang paip dari LRA Langat 2 bertujuan mengelakkan tekanan dan kebergantungan terhadap LRA Sungai Selangor,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pembinaan LRA Sungai Rasau tahun hadapan atau selewat-lewatnya pada 2022, yang dijangka mampu menampung bekalan air di kawasan Klang jika berlaku insiden henti tugas.

Sementara itu, Amirudin berkata penggantian paip sepanjang 150 kilometer setiap tahun memberi kesan terhadap peratusan kadar air tidak berhasil (NRW) di negeri ini.

“Kita mampu turunkan kadar NRW dari 35 peratus kepada sekitar 29 peratus pada tahun lalu malah Air Selangor pernah mendapat anugerah susulan kejayaan itu,” katanya lagi.


Pengarang :