Dato’ Teng Chang Kim memberi rumusan Sindiket 1D : Penciptaan Kekayaan ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Sedia ruang kerja khas, mudahkan pelabur kaji pasaran Selangor

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri bercadang memperkenal zon pendaratan lunak (soft landing zone) bagi memudahkan pelabur domestik dan asing mengkaji pasaran di Selangor, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata pelabur yang berminat mencari rakan kongsi di negeri ini akan disediakan ruang bekerja khas dan mereka tidak perlu menyewa kemudahan di situ.

“Kita mungkin perlu ada ruang dari pejabat Kerajaan Negeri yang boleh digunakan untuk tujuan tersebut kerana mereka (pelabur) memerlukan masa untuk tentukan sama ada ingin meneruskan rancangan melabur di Selangor atau sebaliknya.

“Syarikat asing yang tidak pasti dengan pasaran di sini (Selangor) hanya perlu membayar RM100 dan kita sediakan (ruang bekerja) kepada mereka khususnya pelabur yang ingin memulakan perniagaan.

“Jadi, mereka boleh menggunakan segala kemudahan di pusat tersebut seperti capaian jalur lebar (WiFi), penyaman udara dan minuman,” katanya pada sesi rumusan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau memaklumkan lebih banyak kawasan perindustrian akan diwujudkan sebagai usaha menarik kemasukan pelabur ke negeri itu.

“Sebelum ini, ada sebuah syarikat pemaju yang ingin bangunkan 900 ekar tanah bagi tujuan industri tetapi PBT (pihak berkuasa tempatan) keberatan meneruskan kerana kawasan itu sudah penuh.

“Jadi, PBT perlu lihat bahawa ini (bangunkan tanah) adalah keperluan industri malah pemaju tersebut tahu pasaran sebab itu mereka sanggup untuk melabur,” katanya.


Pengarang :