Pengunjung Taman Tasik Shah Alam Seksyen 3 mematuhi tatacara operasi piawai sewaktu beriadah dengan mengamalkan penjarakan fizikal bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan pada 26 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor bebas kes aktif Covid-19, kini zon hijau

SHAH ALAM, 15 SEPT: Selangor direkodkan sebagai negeri zon hijau buat pertama kali berikutan semua daerah serta mukim bebas kes aktif Covid-19.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan kejayaan itu dicapai selepas 41 hari berturut-turut mengharungi debaran kes aktif kurang dari lima.

“Syabas buat seluruh warga Selangor atas pencapaian ini. Tidak lupa juga para petugas kesihatan yang bertungkus lumus ‘menyembuhkan’ Selangor daripada negeri paling teruk terkesan dengan Covid-19 kepada zon hijau hari ini.

“Khidmat dan pengorbanan anda akan sentiasa dihargai serta dikenang,” tulisnya di Facebook.

Sementara itu, STFC memaklumkan lima kes baharu yang dilaporkan hari ini membabitkan kes import dengan tiga daripadanya adalah rakyat tempatan.

Pasukan itu berkata kes berkenaan dari Filipina, Qatar, Bangladesh, Nigeria dan Maghribi menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah 2,199.

“Walaupun tiada kes aktif Covid-19di Selangor namun ini bukan bermakna kita boleh mengabaikan terus tatacara operasi piawai (SOP) serta pengamalan norma baharu.

“Pada bila-bila masa penularan tempatan boleh terbocor sekiranya kita cuai. Maka adalah sangat kritikal dan penting untuk kita terus mengamalkan penjarakan fizikal, pakai pelitup muka dan basuh tangan secara kerap,” tegas STFC.


Pengarang :