Orang awam dilihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam ketika tinjauan di Jalan Besar, Klang pada 10 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

76 kes baharu Covid-19 di Selangor, satu kluster baharu dikesan

SHAH ALAM, 24 OKT: Selangor merekodkan 76 kes baharu Covid-19 hari ini, meningkat berbanding 62 semalam dan satu kluster baharu dikesan iaitu Kluster Bah Kayu.

Ketua pengarah kesihatan memaklumkan daripada jumlah itu 27 kes daripada kluster-kluster termasuk satu kes daripada kluster baharu.

“36 kes (lain) daripada saringan kontak rapat kes positif dan 13 kes daripada lain-lain saringan Covid-19,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata bagi Kluster Bah Kayu merupakan indeks kes ke-17,371 yang dikesan positif hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah pada 13 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya kluster yang melibatkan daerah Gombak di Selangor dan Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut mengenal pasti 16 lagi kes positif Covid-19 hasil saringan kontak rapat.

“Sehingga 12 tengah hari, sejumlah 628 individu disaring, 17 kes dikesan positif dengan satu kes baharu, 591 negatif dan 20 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Hari ini Malaysia mencatatkan 1,228 kes baharu Covid-19 dengan Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 899.


Pengarang :