Setiap premis perniagaan wajib menyediakan kod QR aplikasi MySejahtera untuk diimbas pelanggan sebelum masuk ke kedai selain menyediakan alat penyukat suhu dan cecair pembasmi kuman bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan pada 24 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

KKM: Kes Covid-19 di Lembah Klang naik, terus patuhi SOP

SHAH ALAM, 24 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru penduduk di Lembah Klang untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana jumlah kes positif Covid-19 di Selangor bertambah sebanyak 76 kes menjadikan keseluruhan 3,880.

Ketua pengarah kesihatan berkata penularan tempatan di Selangor mula berlaku kerana setiap hari lebih banyak kes dan kluster tempatan dikesan berikutan terdapat 35 kluster aktif.

Katanya, Selangor mencatatkan 26 kes dengan jumlah kumulatif kes positif adalah 2,601 jika dibandingkan dengan tempoh 14 hari iaitu pada 11 Oktober lalu.

“Kenaikan 1,279 kes ini dilaporkan di beberapa daerah mengakibatkan jumlah daerah merah di Selangor meningkat daripada dua daerah kepada enam daerah dalam tempoh 14 hari.

“Kenaikan paling ketara 10 adalah dalam daerah Hulu Langat (168 kes), Klang (115 kes) dan Gombak (93 kes),” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau menjelaskan peningkatan kes penularan tempatan di Selangor mula dikesan pada 2 Oktober dan meningkat secara konsisten sehingga hari ini dengan kluster pertama dilaporkan adalah Kluster Jalan Apas pada 28 September lalu melibatkan keluarga yang pulang dari Sabah.

Katanya, setakat ini, 196 kes positif Covid-19 yang dikesan di Selangor dan mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah melibatkan sembilan kluster dan terbaharu Kluster Bah Kayu.

Dr Noor Hisham berkata pihaknya turut mengesan enam kluster berkaitan tempat kerja di Selangor sejak 11 Oktober lalu membabitkan penularan tempatan.

“Kerajaan memohon majikan dan pekerja mematuhi ketetapan ini (PKPB) kerana ianya membantu mengurangkan pergerakan masyarakat di sekitar kawasan PKPB dan mengurangkan juga risiko penularan di kawasan tempat kerja.

“Kepatuhan masyarakat setempat dalam membudayakan amalan baharu dan tatacara operasi piawai (SOP) amat penting bagi membantu memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya.


Pengarang :