Wakil media mengambil gambar sistem perparitan yang telah dinaik taraf bagi tujuan tebatan banjir di kawasan Padang Jawa, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

ADN Muda mahu kerja selenggara longkang dibuat sebelum Sept

SHAH ALAM, 2 OKT: Kerja penyelenggaraan longkang dan sungai di negeri ini perlu dilakukan dengan sempurna sebelum September setiap tahun bagi mengelak banjir, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Sungai Pelek.

Bryan Lim Yu Zhe berkata ini kerana Malaysia lazimnya mengalami musim hujan pada September hingga Januari.

“Apa yang sering berlaku, selenggaraan dibuat setelah air naik, banjir sudah berlaku dan kebun serta kampung dinaiki air, maka ketika itu baru jentera diarah untuk membuat pembersihan.

“Kerja seperti ini perlu disegerakan dan memerlukan kos yang tinggi jika pengorekan dibuat ketika parit dan sungai dipenuhi air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kluster Perkhidmatan Air pada Program ADN Muda Virtual di Dewan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, ADN Muda Bukit Gasing Faith Ling Hsern Zhen mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menubuhkan komisen Air Selangor untuk menjaga kebersihan dan melindungi air daripada pencemaran.

Menurutnya komisen tersebut bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menghukum individu yang melanggar undang-undang.

“Komisen tersebut bekerja untuk membaiki pelan kecemasan dan memberi nasihat untuk menambah baik polisi serta undang-undang untuk melindungi air daripada pencemaran persekitaran,” katanya.


Pengarang :