Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media khas berkenaan satu pengumuman penting pasca sesi mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anwar persembah dokumen sokongan ‘kukuh’ 120 ahli parlimen kepada Agong

SHAH ALAM, 13 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan dokumen sahih sokongan ahli parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Ketua pembangkang mendakwa beliau memiliki sokongan “kukuh” lebih 120 ahli parlimen tetapi meminta semua pihak memberi ruang kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin membuat semakan.

“Seperti dijanjikan dalam sidang akhbar pada 23 September lalu saya tunaikan hari ini dengan mempersembahkan (sokongan) kepada Yang di-Pertuan Agong dokumen sahih mengenai majoriti kukuh dan meyakinkan ahli-ahli parlimen menyokong saya.

“Saya masih berpandangan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin telah jatuh,” kata pengerusi Pakatan Harapan dalam sidang media hari ini.

Ahli parlimen Port Dickson memohon semua pihak memberikan ruang kepada Yang di-pertuan Agong menjalankan tanggungjawab mengikut lunas perlembagaan dan budi bicara tuanku untuk menelaah dokumen serta dalam beberapa hari bagi memanggil ketua parti mengesahkan serta pandangan sebaiknya.

Beliau mendakwa dokumen sokongan diserahkan adalah dalam bentuk akuan bersumpah dan pengesahan ketua parti.

“Hari ini bukan soal merayakan kemenangan atau kekalahan sesiapa tetapi memohon supaya sebuah negara maju dan adil dapat ditegakkan dalam menangani Covid-19,” kata presiden Parti Keadilan Rakyat.

Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini selepas diperkenankan berbuat demikian di Istana Negara pada jam 10.25 pagi.

Pada 23 September, beliau mengadakan sidang media dengan mendakwa beliau mendapat sokongan “kukuh dan menyakinkan” ahli parlimen bagi menbentuk kerajaan baharu.


Pengarang :