Aplikasi ‘Citizen E-Payment Platform’ (CEPaT) versi 1.0 yang dilancarkan pada 1 Ogos 2019.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Aplikasi CEPaT 2.0 tawar 25 perkhidmatan baharu

SHAH ALAM, 24 OKT: Aplikasi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment Platform’ (CEPaT) bakal menyediakan 25 perkhidmatan baharu kepada orang ramai serta 30 kaedah pembayaran dalam talian.

Pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata aplikasi tersebut dinaik taraf ketika ini dan orang ramai dijangka boleh memuat turun versi 2.0 pada awal Disember.

“Aplikasi CEPaT versi 1.0 menawarkan perkhidmatan agak terhad serta hanya digunakan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala capaian versi 2.0 lebih meluas apabila akan digunakan lapan PBT di Selangor.

“Usaha menambah baik aplikasi seiring sasaran memastikan perkhidmatan berbayar Kerajaan Negeri dibuat dalam platform ini menjelang 2022,” kata Dr Fahmi Ngah kepada SelangorKini.

Beliau berkata walaupun bilangan pengguna berdaftar versi 1.0 hanya kira-kira 3,000 namun merekodkan nilai transaksi berjumlah RM450,000 dalam tempoh setahun penggunaannya.

Aplikasi itu yang dilancarkan pada 1 Ogos 2019 menggunakan teknologi awanan berasaskan ‘cloud’ untuk semua perkhidmatan berbayar kerajaan di pelbagai peringkat meliputi khidmat permohonan lesen, kompaun dan cukai taksiran.

CEPat boleh dimuat turun menerusi Playstore bagi pengguna Android dan AppStore bagi IOS.


Pengarang :