AGENDANASIONAL

Bekas menteri PAKATAN meninggal dunia

SHAH ALAM, 2 OKT: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) Datuk Liew Vui Keong meninggal dunia hari ini.

Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking dan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong, lapor Malaysiakini.

Vui Keong yang juga ahli parlimen Batu Sapi dan pengerusi tetap Parti Warisan Sabah (Warisan) dimasukkan ke hospital dan dilaporkan koma sebelum ini.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

“Mendiang merupakan mantan menteri dalam Kerajaan PAKATAN yang amat berdedikasi dan cukup komited terhadap usaha reformasi perundangan, termasuk berkait reformasi sistem penjara serta hukuman gantung.

“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat Dewan Rakyat dan persada politik tanah air,” katanya.

Vui Keong pernah memimpin Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang menjadi komponen Barisan Nasional (BN) ketika itu, sebelum menyertai Warisan.

Mendiang juga pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri bawah pentadbiran bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008 dan Datuk Seri Najib Razak pada 2009 hingga 2013.


Pengarang :