EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar, Rodziah Ismail.
AGENDANASIONAL

EXCO gesa persekutuan lanjutkan pengecualian sewa PPR, perumahan awam

SHAH ALAM, 23 OKT: EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar menggesa Kerajaan Persekutuan melanjutkan pengecualian bayaran sewa kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam.

Rodziah Ismail berkata pengecualian itu perlu kerana golongan berkenaan paling terkesan dengan situasi ekonomi tidak menentu sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

“B40 merupakan golongan yang paling terjejas dengan situasi yang melanda. Kebanyakan mereka yang bekerja di sektor bawahan diberhentikan kerja.

“Kesukaran mendapatkan pekerjaan pada ketika ini merupakan satu cabaran buat golongan B40,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, Kerajaan Selangor memberikan pengecualian bayaran sewa bagi bulan April melibatkan semua penyewa PPR di bawah pengurusan pentadbiran negeri dengan jumlah keseluruhan bernilai RM562,358.

Selain itu, penangguhan bayaran sewa selama dua bulan turut diberikan bagi bulan Mei dan Jun di semua PPR terlibat dengan kos sebanyak RM1.124 juta.

Rodziah menambah kerajaan juga perlu meneliti data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan negara mengalami penyusutan ekonomi paling ketara dalam kalangan negara Asean.

“Mengikut data itu, ekonomi kita menyusut sebanyak 17.1 peratus dalam suku kedua 2020. Begitu juga dengan kadar pengangguran yang meningkat kepada 4.7 peratus pada Julai lalu berbanding 3.3 peratus pada Julai 2019.”

Katanya, peratusan pengangguran itu merupakan angka yang besar iaitu bersamaan dengan 745,100 orang.


Pengarang :