BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Jaga kebersihan, MPK wajibkan peniaga sedia tong sampah

SHAH ALAM, 23 OKT: Majlis Perbandaran Klang mewajibkan semua premis perniagaan menyediakan tong sampah mudah alih 240 liter menjelang hujung tahun bagi menjaga kebersihan persekitaran.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekitarannya berkata pihaknya pada masa ini menjalankan kempen mendidik peniaga dan memberi notis makluman sebelum menguatkuasakan peraturan itu mulai 1 Januari tahun depan.

Zaireezal Ahmad Zainuddin menjelaskan syarat itu ada dimaklumkan ketika peniaga memohon lesen tetapi segelintir mereka tidak mematuhinya dan membuang sampah ke bahu jalan.

“Ada saliran tersumbat disebabkan sampah dibuang merata-rata. Kita mahu mengawal keadaan ini dan memudahkan tugas kutipan sampah oleh KDEB Waste Management,” katanya pada 21 Oktober.

Beliau berkata peniaga yang tidak menyediakan tong sampah jenis itu boleh dikenakan tindakan termasuk lesen perniagan ditarik balik apabila penguatkuasaan dibuat pada tahun depan.

“Tindakan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007 kerana kegagalan mematuhi syarat permohonan lesen yang mewajibkan peniaga menyediakan tong sampah di premis.

“Penguatkuasaan juga dibuat mengikut UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-Sarap (MPK) 2007 atas kesalahan pelupusan sisa pepejal tidak dibuat secara betul,” katanya.


Pengarang :