Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan laporan pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 15 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Jaga kesihatan mental, elak stigma – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Semua rakyat Malaysia perlu bersama-sama memperkasakan diri dengan penjagaan kesihatan mental dan menangani stigma terhadap penyakit mental, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kesihatan mental setiap orang boleh terkesan dengan pelbagai cara terutama dalam keadaan negara yang sedang bergelut mendepani cabaran pandemik Covid-19.

Justeru itu, katanya amat penting untuk masyarakat mempunyai pengetahuan bagi mengenal pasti gejala awal masalah kesihatan mental dan kemurungan agar bantuan dapat diberikan melalui program ‘Let’s TALK Minda Sihat’ Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mulakan dengan bercakap dengan seseorang yang dipercayai iaitu T- Tell someone you trust about your problem (kongsi masalah dengan orang yang dipercayai); A- Ask for Help (Minta Bantuan); L- Listen without judgment (Dengar tanpa menghukum atau menghakimi) dan K- Know where to seek help (Tahu di mana untuk dapatkan bantuan).

“Jangan menstigmakan penyakit ini sebaliknya kita perlu membantu orang yang kita sayang atau orang sekeliling untuk tampil mendapatkan bantuan bagi permasalahan yang dihadapi,” katanya sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun.

Beliau berkata KKM turut menyediakan Perkhidmatan Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikososial (MHPSS) dan talian sokongan bagi membantu masyarakat termasuk petugas barisan hadapan yang memerlukan perkhidmatan bantuan awal psikologi.

Selain itu, beliau berkata KKM akan terus bekerjasama dengan agensi lain seperti Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY), KSK- Care JAKIM, Talian KASIH dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dalam memastikan perkhidmatan sokongan psikososial yang bersepadu.

– BERNAMA


Pengarang :