AGENSISELANGOR

KWSP Klang sambung khidmat kaunter, guna janji temu dalam talian

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambung semula perkhidmatan kaunter di cawangan Klang mulai Isnin ini dengan mengikuti tatacara operasi piawai (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor.

Dana persaraan itu berkata perkhidmatan kaunter cawangan Klang disambung semula setelah ditutup sementara sejak 9 Oktober lepas berikutan penguatkuasaan PKPB di daerah tersebut.

“Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para ahli dan warga kerja, KWSP akan terus melaksanakan SOP di semua kaunter perkhidmatan dan pejabatnya.

“Ini termasuk ahli hanya boleh hadir di cawangan selepas membuat janji temu secara dalam talian terlebih dahulu melalui saluran Janji Temu Online di laman sesawang www.kwsp.gov.my/janjitemu ,” menurut KWSP dalam kenyataan hari ini.

KWSP berkata semua ahli juga perlu menjalani pemeriksaan suhu dan mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis KWSP.

Semua ahli turut dikehendaki mematuhi langkah penjarakan fizikal pada setiap masa ketika berada di dalam premis, menurut KWSP.

Ia berkata dalam persekitaran semasa yang tidak menentu ini, KWSP komited untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada ahli sama ada melalui perkhidmatan kaunter atau saluran digital.

Ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000 atau melayari laman sesawang www.kwsp.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

-BERNAMA

 


Pengarang :