Petugas KKM Wilayah Persekutuan Labuan membuat ujian calitan Covid-19 kepada penumpang yang tiba dari Sabah di Hospital Labuan pada 28 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lima lagi kluster baharu Covid-19 dikesan

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Terdapat pertambahan lima kluster baharu Covid-19 di dalam negara iaitu kluster Tujuh Serangkai dan kluster Tanamera di Sabah, kluster Jalan Pantai di Kuala Lumpur, kluster Bah Arnab di Sarawak dan kluster Bah Bangat di Labuan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Tujuh Serangkai di Tuaran melibatkan kes indeks ke-11,569 yang menjalani saringan bergejala pada 5 Okt dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan 22 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti manakala 302 individu masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang akhbar harian yang disiarkan melalui Facebook berhubung situasi Covid-19 hari ini.

Bagi kluster Tanamera, beliau berkata ia melibatkan kes indeks ke-12,868 yang dikenal pasti positif hasil saringan bergejala pada 29 Sept dan dimasukkan ke Hospital Tawau.

“Berdasarkan saringan kontak rapat, lapan lagi kes positif dikesan manakala tiga individu lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Mengenai kluster Jalan Pantai, Dr Noor Hisham berkata kes indeks ke-14,265 dan ke-14,266 itu dikenal pasti positif hasil saringan bergejala pada 8 Okt dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat mengesan enam lagi kes positif dan tujuh individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Seterusnya, mengulas lanjut mengenai kluster Bah Arnab kes indeks ke-13,488 itu dikenal pasti positif hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah pada 7 Okt dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah mengesan tiga lagi kes positif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagi kluster Bah Bangat, kes indeks ke-12,377 itu dikesan positif pada 3 Okt juga hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah.

“Saringan kontak rapat mengesan lapan lagi kes positif dan mereka telah dimasukkan ke Hospital Labuan untuk rawatan.

Beliau berkata punca jangkitan bagi semua kluster baharu ini masih dalam siasatan.

Kluster lain yang mencatatkan pertambahan kes termasuk kluster Tembok (14 kes), kluster Jalan Meru (12 kes), kluster Ramai-Ramai (enam), kluster Laut (lima), kluster Benteng LD (tiga), kluster Bah Puchong (dua) manakala kluster Bah Sintok, kluster Selasih, kluster Penjara Reman masing-masing mencatatkan satu kes.

-BERNAMA


Pengarang :