Pekerja memeriksa kualiti sarung tangan yang dihasilkan sebelum dipasarkan ke luar dan dalam negara ketika tinjauan di Kilang Top Glove di Meru Klang pada 26 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDAEKONOMI

Mah Sing mulakan kerja cerucuk tambahan kilang sarung tangan

KUALA LUMPUR 21 OKT: Mah Sing Group Bhd telah memulakan kerja-kerja cerucuk tambahan bagi menampung 12 unit mesin membuat sarung tangan berkelajuan tinggi baharu di kilang pembuatan sarung tangannya di Kapar, Klang.

Mah Sing dalam satu kenyataan hari ini berkata kerja-kerja cerucuk itu dijangka siap menjelang November, yang akan diikuti pemasangan jentera.

Dua belas barisan pengeluaran ini, di bawah Fasa 1 pelan pempelbagaian operasi Mah Sing ke dalam pembuatan sarung tangan, mempunyai kapasiti pengeluaran maksimum sehingga 3.68 bilion keping sarung tangan setahun, kata syarikat itu.

“Walaupun Mah Sing mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam pembuatan plastik dan mengeksport ke 45 negara, perniagaan sarung tangan akan diuruskan oleh pasukan profesional yang mempunyai pengalaman dalam pembuatan sarung tangan.

“Mah Sing akan dapat memanfaatkan kepakaran dan pengetahuannya mengenai perniagaan plastik serantau untuk bersinergi dengan perniagaan sarung tangan,” kata syarikat itu.

Enam barisan pengeluaran pertama dijangka siap untuk beroperasi seawal suku kedua 2021, diikuti enam lagi barisan pengeluaran pada suku berikutnya.

Sementara itu, syarikat tersebut juga menyasarkan pelan pengembangan fasa kedua, yang termasuk melaksanakan pilihan untuk memperuntukkan bahagian lain di kilang di Kapar (keluasan kira-kira 287,500 kaki persegi), dan menampung 12 lagi barisan pengeluaran baharu.

“Pengembangan Fasa 2 dijangka dilaksanakan apabila permintaan mengatasi penawaran bagi Fasa 1.

“Pada masa ini, Mah Sing Healthcare Sdn Bhd telah memperoleh surat hasrat daripada beberapa bakal pelanggan dan tempahan telahpun melebihi anggaran kapasiti maksimum bagi kedua-dua fasa,” kata syarikat itu.

Menurut Mah Sing, perniagaan sarung tangan baharu itu yang disasarkan untuk pasaran eksport, membolehkan kumpulan mengambil kesempatan daripada lonjakan segmen pembuatan sarung tangan dan mengukuhkan lagi bahagian pembuatannya, yang ketika ini menumpukan kepada perniagaan plastik.

– BERNAMA


Pengarang :