Petugas Kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian individu pulang dari Sabah ke dalam beg saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB doakan ADN Kampung Tunku, Kota Damansara diberi kekuatan, sihat

SHAH ALAM, 6 OKT: Dato’ Menteri Besar mendoakan dua Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor yang dijangkiti Covid-19 kembali sembuh dan sihat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berharap keluarga ADN Kampung Tunku, Lim Yi Wei dan Kota Damansara, Shatiri Mansor diberi kekuatan bagi mengharungi ujian tersebut.

“Saya menerima berita Yang Berhormat (YB) Yi Wei dan YN Shatiri disahkan positif Covid-19. Segala urusan melibatkan DUN ini akan diselaras dan dimudah cara di antara pejabat saya serta pusat khidmat terlibat.

“Marilah sama-sama kita mendoakan agar mereka yang dijangkiti diberi kesembuhan dan agar kita semua dilindungi sentiasa dari wabak ini,” katanya menerusi Facebook malam tadi.

Sebelum itu, ADN Kampung Tunku disahkan positif Covid-19 hasil keputusan saringan kedua yang dijalaninya pada 2 Oktober lalu.

Lim Yi Wei berkata ujian tersebut dilakukan selepas beliau mengalami gejala pada 1 Oktober walaupun sehari sebelum itu disahkan negatif Covid-19 dan diminta hadir untuk dibuka gelang merah jambu.

Beliau menjalani ujian saringan pertama di klia2 sejurus tiba dari Sabah pada 27 September lalu dan menjalani kuarantin diri.

ADN Kota Damansara pula disahkan positif semalam hasil keputusan saringan kedua dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling.

Isteri serta dua orang anak beliau turut disahkan positif dan kini menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.


Pengarang :