AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Peristiwa keputeraan Rasulullah sejarah agung sepanjang zaman

SHAH ALAM, 28 OKT: Dato’ Menteri Besar menggambarkan peristiwa keputeraan Nabi Muhammad SAW sebagai sejarah maha agung yang merentasi sepanjang zaman.

“Hari ini, seluruh umat Islam memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT.

“Lantaran rahmat terbesar kelahiran seorang Rasul yang membuka gapura (pintu) kebenaran dalam perjalanan hidup di atas muka bumi ini,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Lazimnya, hari bersejarah keputeraan baginda setiap 12 Rabiulawal diraikan rakyat beragama Islam di Malaysia dengan pelbagai acara sempena memperingati Nabi Muhammad SAW termasuk mengenali lebih dekat kisah kehidupan serta keperibadian tinggi baginda.

Pada tahun ini, Maulidur Rasul jatuh pada Khamis, 29 Oktober dengan mengangkat tema “Ummah Rabbani Negara Harmoni”.

Bagaimanapun, majlis sambutan yang juga dikenali sebagai Maulid Nabi peringkat kebangsaan tahun ini dijangka diadakan dalam suasana berbeza berikutan negara dilanda pandemik Covid-19 yang memerlukan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).


Pengarang :