Keadaan semasa air laut di Pantai Kelanang, Banting pada 16 Oktober 2020. Foto Skuad Pantas MPKL
PBTSELANGOR

Pantas MPKL kesan limpahan kecil di Pantai Kelanang

SHAH ALAM, 16 OKT: Pasukan Tindakan Segera (Pantas) Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengesan limpahan kecil di Pantai Kelanang, Banting pagi tadi namun tidak mengakibatkan ban pecah.

Penyelarasnya berkata tiada limpahan air berlaku di Pantai Cunang, Pantai Batu Laut, Pantai Morib dan Jeti Tanjung Sepat pada hari pertama pemantauan fenomena air pasang besar.

“Walaupun air pasang besar kedua dijangka bermula esok namun kita sudah menggerakkan dua pasukan pada sesi pagi dan petang untuk melakukan rondaan di kawasan berisiko dinaiki air hari ini.

“Rondaan bagi memastikan aset dan infrastruktur di kawasan terbabit tidak terjejas serta dalam keadaan terkawal,” kata Miskon Karim ketika dihubungi.

Beliau berkata lima kawasan di daerah itu sudah ditutup kepada orang ramai berikutan paras air laut dijangka berada paras maksimum iaitu 5.8 meter.

“Oleh itu, penduduk setempat atau pengunjung digesa supaya tidak menghampiri kawasan berkenaan sama ada untuk melakukan aktiviti memancing atau berekreasi.

“Kita khuatir jika mereka enggan memberi kerjasama akan mengancam keselamatan kerana perlu diingat, ketika ini kita bukan sahaja bimbang isu air pasang tetapi juga pandemik Covid-19,” katanya.

Fenomena tersebut dijangka melanda Kuala Langat, Sepang, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam pada 17 hingga 19 Oktober.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka kejadian kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.


Pengarang :