EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud melawat anak-anak serta menyerahkan Kit Pembasmi Covid-19 dan Inisiatif Penjagaan Anak Frontliners (iPAF) kepada Taska Frontliners di Kuarters Hospital Shah Alam pada 16 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Petugas barisan hadapan boleh usul lokasi sesuai taska tambahan

SHAH ALAM, 16 OKT: Petugas barisan hadapan boleh mengusul lokasi pusat jagaan sesuai bagi anak-anak mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia sebagai bantuan alternatif kepada golongan itu menguruskan anak masing-masing sehingga 27 Oktober ini.

“Kita mahu mudahkan urusan mereka. Jika ada lokasi sesuai boleh maklum kepada Kerajaan Selangor dan permohonan akan diuruskan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Program Pembekalan Kit Pembasmi Covid-19 dan Inisiatif Penjagaan Anak Frontliners (iPAF) hari ini.

Beliau berkata langkah mengaktifkan semula sembilan taska sementara bertujuan membantu dan meringankan beban petugas terbabit memandangkan ketika ini taska dan pusat asuhan ditutup.

“Taska dibuka dari jam 7 hingga 5.30 petang dan ada lokasi tertentu dibuka pada hujung minggu. Anak mereka akan dijaga sebaik mungkin oleh petugas berpengalaman,” katanya.

Hari ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Kerajaan Negeri mengaktifkan semula sembilan taska tambahan sebagai tempat penjagaan anak-anak petugas barisan hadapan sepanjang PKPB.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lokasi meliputi Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.


Pengarang :