Foto Facebook Pusat Kaunseling Selangor
EXCOSELANGOR

Pusat Kaunseling Selangor bantu individu berdepan tekanan ketika PKPB

SHAH ALAM, 27 OKT: Individu berdepan tekanan hidup mahupun masalah kesihatan mental boleh mendapatkan khidmat nasihat percuma menerusi portal Pusat Kaunseling Selangor.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata orang ramai boleh memilih perkhidmatan kaunseling secara bertemu ataupun panggilan telefon.

“Masalah kesihatan mental ini dipercayai meningkat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula Mac lalu, jadi tidak dinafikan mungkin ketika PKP Bersyarat juga perkara sama akan berlaku.

“Oleh itu saya nasihatkan supaya anda manfaatkan kemudahan yang Pusat Kaunseling Selangor sediakan, dan pada masa sama masyarakat sekeliling tidak boleh memberikan sebarang tanggapan negatif sekiranya ada individu berdekatan mereka mendapatkan khidmat kaunseling,” katanya.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud bersama Dr Siti Sarah Izham dan Mohd Akif Farhan Ahmad Basri ketika program bual bicara ‘Covid-19 mencanak, stres meningkat apa mesti kita buat?’ menerusi Facebook pada 24 Okt 2020. Foto Facebook Dr Siti Mariah

Beliau berkata demikian menerusi rancangan bual bicara bertajuk ‘Covid-19 mencanak, stres meningkat apa mesti kita buat?’ menerusi Facebook, pada Sabtu lalu.

Pada 10 Oktober, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata isu kesihatan mental antara fokus umum Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat, terutama ketika berdepan pandemik Covid-19.

Malah, katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM1 juta menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 bagi menangani isu itu melalui kelas interaktif.


Pengarang :