AGENDA NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.1570/1610 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Ringgit dibuka tinggi pagi ini berbanding dolar AS susulan peningkatan sedikit harga minyak dunia, namun kenaikan itu dihadkan oleh kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1570/1610 berbanding dolar AS daripada 4.1620/1660 pada Jumaat minggu lepas.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata prestasi baik ringgit itu dipacu oleh harga minyak tinggi, manakala mata wang negara sedang pesat membangun mendapat manfaat daripada penurunan dolar dengan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu masih berada di bawah purata pergerakan 200-harinya.

Minyak mentah penanda aras global Brent meningkat 1.94 peratus kepada AS$39.91 setong.

Beliau berkata para pelabur juga menunggu petunjuk daripada pakej rangsangan ekonomi akan datang AS, serta pilihan raya presiden yang akan diadakan dalam masa sebulan lagi.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0497/0528 daripada 3.0502/0543 pada Jumaat, naik sedikit berbanding euro kepada 4.8741/8780 daripada 4.8766/8830 dan menokok berbanding yen kepada 3.9380/9413 daripada 3.9582/9631 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia susut berbanding pound Britain kepada 5.3804/3847 daripada 5.3748/3821.

– BERNAMA


Pengarang :