Rodziah Ismail menjawab pertanyaan media selepas menyerahkan pelitup muka kepada Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) bersama Kesatuan Penghulu Penggawa Semalaysia Negeri Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 14 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Rodziah harap status kampung tradisi kekal

SHAH ALAM, 8 OKT: Rodziah Ismail mahu 371 kampung tradisi negeri ini tidak digadaikan statusnya walaupun berdepan arus permodenan.

EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan berkata beliau mengharapkan semua kampung terus berdaya dan dijaga.

“Walaupun berat hati melepaskan portfolio ini tapi terasa lega. Dalam dua tahun empat bulan menjawat portfolio beberapa polisi dasar saya kemukakan dapat dilaksanakan terutama garis panduan Pengerusi MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta isu kebajikan ketua kampung.

“Antaranya elaun dikekalkan walaupun Kerajaan Persekutuan membatalkannya, peruntukan tambahan, insurans pengerusi serta polis kampung bersih dan sejahtera,” kata mantan EXCO pembangunan usahawan, pembangunan luar bandar, desa dan kampung tradisi di Facebook malam tadi.

Rodziah yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Tiga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua kampung tradisi dan Tok Penghulu.

Berkuat kuasa semalam, portfolio ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dirombak susulan pelantikan dua EXCO baharu Borhan Aman Shah dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada 17 September lalu.

Lima portfolio baharu turut diwujudkan sejajar dengan keperluan semasa iaitu pembudayaan inovasi & Smart Selangor, pengurusan bencana, pemberdayaan pekerja, perpaduan dan industri halal.


Pengarang :