Petugas Selcare menyimpan sampel yang diambil dari orang ramai yang membuat saringan Covid-19 secara percuma di Klinik Selcare Puchong ketika tinjauan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor catat 39 kes baharu Covid-19, warga tempatan dominasi

SHAH ALAM, 6 OKT: Selangor terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 apabila merekodkan 39 kes baharu hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 17 kes membabitkan saringan individu yang pulang dari Sabah.

Sementara 11 kes membabitkan Kluster Jalan Meru, katanya.

“Sembilan kes dikesan daripada saringan kontak rapat positif Covid-19 dengan lapan daripadanya ialah warganegara manakala satu warga asing. Satu lagi kes dicatatkan daripada Kluster Embun,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata satu lagi kes mendapat jangkitan dari Filipina yang merupakan warga asing.

Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan sebanyak 691 kes Covid-19 dicatatkan hari ini dengan 57 peratus daripadanya membabitkan Kluster Tembok di Kedah.

Empat kes kematian turut dilaporkan termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun. Jumlah kematian kini 141 kes.


Pengarang :