BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor Xtiv Virtual diteruskan tahun depan

SHAH ALAM, 21 OKT: Selangor Xtiv Virtual diteruskan tahun depan selepas program julung kali tersebut merekodkan 178,081 penyertaan sejak dilancarkan pada Mei.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata Kerajaan Negeri komited menyediakan pertandingan e-sukan selaras dengan kehendak golongan muda masa kini.

“Program ini merangkumi Selangor Xtiv Virtual e-Sport, Selangor Xtiv Virtual Run, Selangor Martial Art Xtiv, Selangor Xtiv Fifa Pro Club dan Selangor Xtiv Virtual Youth Busking.

“Pada awalnya penganjuran bertujuan menggalakkan masyarakat bergiat aktif sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi melihat sambutan menggalakkan, kita bercadang anjur lagi tahun depan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata Selangor satu-satunya negeri yang berjaya menganjurkan pertandingan program sukan secara maya berskala besar beserta hadiah.

“Antara peserta luar negara yang menyertai pertandingan adalah dari Singapura, Indonesia, Brunei, Jepun, India dan Amerika Syarikat,” katanya.


Pengarang :