Sumber Grafik: Facebook Ng Sze han
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anugerah lima bintang: EXCO harap lebih banyak PBT Selangor raih kedudukan teratas

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Selangor berharap lebih banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) mampu berada dalam kelompok sepuluh teratas bagi Sistem Penarafan Bintang Perkhidmatan PBT pada masa hadapan.

EXCO kerajaan tempatan  berkata masih ada ruang untuk kesemua 12 PBT di Selangor menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan bagi meraih pengiktirafan tersebut.

“Baru-baru ini diumumkan senarai sepuluh PBT terbaik (seluruh negara) yang menerima anugerah bintang penyampaian perkhidmatan. Dalam sepuluh terbaik, PBT dari Selangor mengisi tiga tempat iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“(Kejayaan) itu jelas menunjukkan bahawa PBT Selangor cemerlang, namun (perkhidmatan) PBT negeri ini tidak terhenti di situ dan akan teruskan untuk mengejar kejayaan yang lebih cemerlang,” kata Ng Sze Han menerusi Facebook hari ini.

Pada majlis penganugerahan bintang perkhidmatan PBT dalam talian 5 November lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengumumkan MBPJ di kedudukan keempat, MBSA (kelima) manakala MPAJ (kesembilan).

Menerusi kenyataan statistik KPKT, buat julung kali dalam sejarah kesemua tiga PBT di Wilayah Persekutuan, 12 di Selangor, Pulau Pinang (dua) dan Melaka (empat) mencipta rekod bertaraf cemerlang lima bintang.

Secara keseluruhan, 74 daripada 152 PBT seluruh Malaysia dinilai sebagai lima bintang manakala 53 empat bintang diikuti 16 (tiga bintang), enam (dua bintang) dan tiga (satu bintang).

Berdasarkan penilaian KPKT sendiri, kesemua 17 PBT bertaraf bandar raya di negara ini diberi status lima bintang selain 31 majlis perbandaran, 24 majlis daerah dan dua agensi.


Pengarang :