Peserta yang dijemput sahaja dibenarkan menghadiri sesi temu duga ketika Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 15 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Jelajah kerjaya di Kuala Selangor tawar hampir 3,000 peluang pekerjaan

KUALA SELANGOR, 16 NOV: Sebanyak 2,888 jawatan kosong pelbagai bidang ditawarkan dalam Program Jelajah Selangor Bekerja di Stadium Tertutup Kuala Selangor semalam.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata program sehari tersebut membantu rakyat khususnya belia tempatan yang hilang pekerjaan atau mahu mencuba kerjaya baharu menghadiri temu duga.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan lagi pada tahun depan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Program ini juga menggambarkan usaha serta inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat dalam pelbagai cara sama ada menerusi penganjuran program kerjaya atau program perniagaan dalam talian,” kata Juwairiya Zulkifli.

EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman membuat lawatan Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 15 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau sesi temu duga Program Jelajah Selangor Bekerja di Stadium Tertutup Kuala Selangor semalam.

Lebih 90 syarikat menyertai jelajah di lima lokasi bermula di Kuala Selangor semalam, diikuti Gombak (21 November), Paya Jaras (22 November), Hulu Langat (29 Disember) dan Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Antara peluang pekerjaan ditawarkan adalah pensyarah, tutor al-Quran, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, operator pengeluaran, operator panggilan pemandu traktor terminal dan penjaga stor.

Pemohon perlu membuat pendaftaran awal menerusi http://nfdot.com/ereg/views/jobfair atau Facebook Pusat Jobs Malaysia Selangor atau Instagram Jobs Malaysia Selangor atau di talian 03-55247740 dan 03-55231309.


Pengarang :